Masalah komunikasi punca cerai

Muka Depan: Masalah komunikasi punca cerai

KUALA LUMPUR : Masalah komunikasi antara pasangan berkahwin dikenalpasti menjadi faktor yang boleh menyebabkan sesebuah rumah tangga yang dibina walaupun atas dasar cinta rapuh sehingga boleh membawa kepada perceraian.

Keadaan itu akan bertambah meruncing jika pasangan yang berkahwin tidak mempersiapkan diri dengan ilmu pengetahuan yang secukupnya untuk melayari alam berumahtangga.

Kaunselor di Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Suriani Buang, berkata pasangan yang berkahwin pada usia muda lebih terdedah dengan pelbagai cabaran yang jika tidak diatasi boleh menyebabkan keadaan bertambah buruk lagi.

Katanya, komunikasi antara lelaki dan wanita sangat mempengaruhi perjalanan sesebuah rumah tangga sama ada akan mewujudkan suasana yang harmoni, gembira atau sebaliknya.

“Komunikasi antara suami dan isteri berbeza kerana golongan suami lebih bersikap rasional berbanding isteri yang lebih emosional.

“Begitupun, kedua-duanya perlu memahami tingkah laku dan perasaan pasangan masing-masing serta bertolak ansur untuk menyelesaikan masalah yang timbul bersama,” katanya mengulas mengenai masalah perceraian yang berlaku ke atas sesebuah perkahwinan dalam tempoh singkat atau kahwin spring ini.

Menurutnya, suami atau isteri perlu memahami sedalam-dalamnya sikap pasangan mereka sebelum berkahwin bagi menyesuaikan diri terutamanya selepas berumahtangga.

Selain itu katanya, masalah seksual juga menjadi antara faktor penyumbang kurangnya persefahaman suami isteri sehingga mengeruhkan suasana dalam rumah tangga.

Suriani berkata, hubungan kelamin suami isteri menjadi salah satu perkara yang perlu diberi perhatian serius oleh pasangan yang berkahwin tanpa perlu rasa malu untuk membincangkannya.

“Dalam hal ini (hubungan kelamin suami isteri) pasangan tidak perlu malu atau takut untuk mengaku kelemahan atau masalah yang dihadapi kerana jika mendiamkan diri ia tidak akan selesai malah ada yang bertindak memohon perceraian.

“Pasangan tidak perlu khuatir kerana masalah ini boleh diatasi melalui perbincangan sesama mereka atau mendapatkan pandangan pakar supaya ia tidak berlarutan,” katanya.

Dalam melayari rumah tangga katanya, suami atau isteri perlu mempunyai matlamat yang jelas supaya ikatan yang dibina dapat berjalan di landasan yang benar.

Menurutnya, jika sesebuah perkahwinan itu hanya mengikut hawa nafsu semata-semata tanpa melihat ke hadapan, sesuatu pasangan itu tidak dapat menguruskan rumah tangga dengan baik.

Kerana itu katanya, pasangan perlu memahami tanggungjawab serta komitmen yang perlu dilakukan apabila melangkah ke alam perkahwinan.

“Perkahwinan bukan satu perkara mudah kerana banyak perkara perlu dititikberatkan bukan sahaja di dalam keluarga itu sendiri tetapi membabitkan pihak terdekat seperti keluarga mertua, saudara mara dan sebagainya,” katanya.

Suriani berkata masalah yang timbul boleh diselesaikan dengan baik bukannya mengikut perasaan kerana dalam berumah- tangga pendekatan terbaik hanyalah dengan mengadakan perbincangan.

Sekiranya langkah itu tidak berkesan katanya, pasangan boleh mendapatkan bantuan pihak ketiga seperti kaunselor, keluarga atau rakan-rakan yang boleh memahami seterusnya membantu mengatasi masalah yang timbul.

“Dalam perkahwinan masalah akan ada dan pasangan perlu mengetahui cara atau pendekatan sesuai menghadapinya supaya tidak bertambah rumit.

“Begitupun, apa yang penting pasangan perlu memahami bukan sahaja orang lain tetapi diri sendiri kerana semua yang berlaku adalah bermula dari diri sendiri,” katanya.

Selain itu, Suriani juga meminta pasangan yang belum berumahtangga dapat mewujudkan persefahaman yang jitu agar mereka dapat mengenali pasangan masing-masing dengan lebih dekat lagi supaya masalah yang timbul kemudian hari dapat diatasi secara bersama dengan baik.

PUNCA BERLAKUNYA PERKAHWINAN SINGKAT
– Masalah komunikasi
– Tiada persefahaman
– Masalah hubungan seks suami isteri
– Sikap mementingkan diri sendiri
– Pasangan tidak memberikan kerjasama dengan baik
– Menjalin hubungan sulit dengan lelaki atau wanita lain
– Tiada pengetahuan ilmu rumahtangga
– Dipengaruhi pihak ketiga seperti keluarga atau orang berpengaruh
– Tidak bertanggungjawab
– Mengabaikan nafkah isteri dan keluarga
– Menjalinkan hubungan sejenis

CARA UNTUK MENGATASI
– Bawa berbincang
– Cuba memahami sikap pasangan masing-masing
– Bertolak ansur, bekerjasama, bantu-membantu
– Meletakkan matlamat mewujudkan perkahwinan yang bahagia
– Membuat persediaan secukupnya: jiwa dan minda sebelum berkahwin
– Dapatkan bantuan pihak lain seperti kaunselor
– Jangan bertindak ikut perasaan sebaliknya berfikir sebelum bertindak
– Pelajari ilmu berumahtangga
– Sabar dan menerima pasangan seadanya
– Amalkan ucapan cinta, terima kasih dan maaf

6 thoughts on “Masalah komunikasi punca cerai

  1. Pingback: Tazkirah Jumaat: Masalah Komunikasi Punca Cerai « On Da Street

  2. Kadangkala,wanita tidaklh begitu menginginkan kemewahan dari seorng suami…yang kami harapkan,,kasih syg yg tulus & perhatian dari suami…Apa yg buatkan sesetengah wanita berkeras nk bercerai kerana suami yg terlalu pntingkn diri sndri…sehingga membuat si isteri merasa jauh hati & menyimpan luka yg dlm…tak terluah rasanya bila ada cara & masa untuk berdepan..kami lebih memilh untuk diam & pendam….urm..

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s