PERANAN SISWAZAH MENONGKAH ALAF BARU

“ Katakanlah : Inilah jalan ( Deen ) ku, aku dan orang-orang yang mengikutiku mengajak ( kamu ) kepada ALlah dengan hujjah yang nyata.”

( Yusof : 108 )

PERANAN SISWAZAH MENONGKAH ALAF BARU

MUQADDIMAH

Dalam banyak hal, Malaysia tidak banyak berbeza daripada negara-negara Islam lain yang sedang hebat mengalami semula kebangkitan Islam. Di seluruh negara kita dapat melihat akan kesediaan rakyat untuk mengamalkan cara hidup Islam seperti contohnya pemakaian tudung, pakaian menutup aurat dan seumpamanya. Tindakan-tindakan kerajaan juga yang jelas bertentangan dengan Islam cukup mendapat banyak kritikan terutama oleh kalangan Kumpulan Pendesak ( Parti Pembangkang ) khususnya Parti Islam Semalaysia ( PAS ).

 

Di Malaysia, belia merupakan ahli gerakan Islam yang paling aktif. Mereka terdiri daripada pelajar-pelajar sekolah tinggi dan mahasiswa, siswazah universiti dan ahli professional muda iaitu kumpulan sosial yang paling mudah menerima ideologi kebangkitan semula Islam. Maka, berlainan dengan tanggapan biasa, kebanyakan pejuang Islam bukanlah tidak berpelajaran, kolot dan kera sumbang di dalam masyarakat tetapi sebenarnya mereka itu adalah orang yang terpelajar, sedang meningkat dalam masyarakat dan berhemah tinggi. Di Malaysia, mereka inilah yang menjadi tulang belakang kepada kebangkitan semula Islam.

 

Sahabat-sahabat……

Adalah suatu perkara penting yang harus diinsafi bahawa kelesuan, kebekuan dan kealfaan golongan mahasiswa khususnya yang ingin disentuh dalam kertas kerja dasar ini iaitu golongan siswazah ( pelajar universiti yang telah berjaya mendapat ijazahnya ) akan menatijahkan kekalahan dan kejumudan perjuangan Islam. Lebih-lebih lagi dalam berhadapan dengan suatu zaman baru – alaf baru yang sebegitu banyak menjanjikan cabaran – mehnah dan tribulasi ( ibtila’ ) yang telah mengembanglebarkan sayapnya di segenap senario dunia dan seantero usia. Justeru itu, generasi ini perlu terus sedar dan menginsafi akan kepentingan penglibatan mereka dalam membawa agama Tauhid ini ke mercu jaya dan mengembalikan semula hak keTuhanan kepada Yang Maha Berhaq dan hak perundangan kepada Syariat ALlah yang telah termaktub/tergazet di dalam Al Qur’an, As Sunnah, Qias dan Ijmak para Ulama’.

DEFINISI TAJUK

 

Berdasarkan kepada tajuk yang tertera di atas maka PERANAN bolehlah kita definisikan sebagai fungsi dan tanggungjawab. Manakala SISWAZAH pula merupakan golongan pelajar peringkat tinggi yang telah berjaya meraih segulung ijazah berdasarkan kepada bidang yang mereka ceburi di mana-mana Institusi Pengajian Tinggi Tempatan mahupun Swasta di dalam ataupun di luar negara. MENONGKAH yang ingin ditafsirkan di sini lebih merujuk kepada makna menghadapi dan seterusnya melibatkan diri secara aktif termasuk dalam berhadapan dengan segala masalah – mehnah dan tribulasi yang berada di hadapan . Terus mara mengayuh dan merentasi apa jua halangan untuk mencapai satu-satu tujuan/hasrat . ALAF BARU pula bermakna suatu zaman/abad baru yang menjanjikan suatu bentuk kehidupan yang lebih maju dan mencabar. Zaman yang pernah dikatakan oleh salah seorang ahli sosiologi Barat iaitu Alvin Toffler sebagai suatu zaman Ledakan Ilmu dan Maklumat serta “PowerShift” . Hanya manusia yang berilmu dan bermaklumat akan berkuasa. Alaf inilah yang jua disebut sebagai abad ke 21.

 

Oleh yang demikian, kita ingin membicarakan tentang fungsi dan tanggungjawab generasi Siswazah dalam menghadapi alaf baru sejajar dengan cita-cita suci perjuangan mereka. Kita membicarakan tentang pembinaan sikap sebenar seorang pejuang dan jati diri yang perlu ada dalam diri mereka. Seterusnya mempastikan agar mereka ini tidak tercicir dan tidak tergelincir dalam arus deras kesibukan masa.

 

A : FORMULA PERJUANGAN AL JUNDI – KE ARAH KESINAMBUNGAN PERJUANGAN

  1. Peringkat Kampus ( Semasa Bergelar Mahasiswa ) :-

Mula berkenalan dan bercinta dengan perjuangan ( PAS ) . Di sinilah kalian belajar memahami prinsip dan dasar perjuangan PAS secara teoritikal. Belajar untuk membina semangat berjama’ah, pengorbanan dan istiqomah. Di sinilah kita mengenal erti mehnah dan tribulasi perjuangan. Belajar berorganisasi dan bertindak serta bekerja secara berpasukan. Belajar membina jati diri seorang pelajar pada masa yang sama sebagai pejuang. Ketika ini kita masih boleh buat apa sahaja mengikut perancangan kita. Kita umpama tuan dalam pelajaran. Kita boleh tuang kuliah. Kita boleh tidur dan bangkit lewat. Kita boleh buat tugasan ‘last minutes’ lantaran merasakan masa kita agak panjang. Waktu itu, komitmen kita masih terlalu kurang. Kita masih di bawah tanggungan dan bukannya menanggung. Masalah yang kita hadapi pula sekadar umpama melukut di tepian gantang. Ketika dan sa’at inilah kita membina sebegitu banyak retorika-retorika perjuangan dan idea-idea yang sebegitu idealistik tetapi kurang realistik .

 

  1. Peringkat Peralihan ( Mencari Pekerjaan & Menyesuaikan Diri @ Tahun Pertama ) :-

Bertunang…….di Kawasan dan Negeri tempat bekerja. ( Mula berjinak-jinak dengan tugas-tugas yang dirasakannya sesuai dan agak ringan – tahap awal menyesuaikan diri dalam dua peranan utama iaitu sebagai pekerja dan selaku pejuang ilaLlah ). Waktu ini juga merupakan satu masa atau sa’at-sa’at tension seorang pejuang. Sa’at-sa’at berduka dan bersedih lantaran keberangkalian terpaksa berpisah atau tinggal jauh daripada keluarga dan sahabat-sahabat tersayang.Sa’at-sa’at keterasingan di bumi lain dan demi Islam terpaksa melaluinya. Sa’at-sa’at yang cukup kritikal. Waktu ketika mana wujudnya pertembungan antara kepentingan diri/ keluarga dengan kepentingan jama’ah/ perjuangan. Sa’at-sa’at di mana ujian-ujian awal daripada ALlah datang bertubi-tubi. Ujian material, pangkat dan kedudukan. Pemilihan antara kepentingan ‘periuk nasi’ dengan maruah jihad fisabiliLlah yang sudah sebati dalam hidup kita. Suatu ujian yang mana menerusinya sama ada kita berjaya menjadi pejuang sebenar atau pejuang omong-omong kosong . ( NauzubiLlah ) Sa’at di mana ianya menagih tahap pengorbanan dan istiqomah yang sebegitu tinggi daripada setiap individu pejuang.

  1. Peringkat Pengukuhan/Pemantapan ( Bekerja @ Tahun Seterusnya ) :-

Berkahwin….Sa’at di mana kalian telahpun boleh menerima realiti hidup di luar, bisa akur dengan segala mehnah dan tribulasi yang dihadapkan oleh ALlah dan telah dilalui oleh para Nabi juga pejuang-pejuangNya yang terdahulu. Sa’at di mana di sinilah kalian mula mengorak langkah lebih berani ke hadapan setelah sudah memahami dan sebati dengan selok belok suasana luar yang sebenar. Di sinilah kalian mula mengambil beberapa jawatan penting dalam jama’ah terutamanya menguasai kepimpinan peringkat negeri dan seterusnya di peringkat yang lebih tinggi untuk mewujudkan suatu bentuk sistem pengurusan dan pentadbiran yang lebih cekap dan sistematik. Tahap ini adalah suatu tahap yang menagih peningkatan, rasa tawadhuk dan redha dalam nilaian yang tertinggi seorang hamba kepada khaliqnya. Mujahadah dan taqarrub ilaLlah yang tiada pasang surutnya sehinggalah tiba sa’atnya kita dipanggil untuk menemui ALlah Rabbul Jalil .

 

B : 2 ALTERNATIF PERANAN YANG MUNGKIN……..

 

 

Peranan Secara Langsung…… – Berjawatan : Urusan Pentadbiran, Kajian & Projek

  1. Memegang Jawatan Sekretariat ( Dewan Harian )/ AJK / AJKK/ Ketua Unit/ AJK Unit, etc.
  2. Di peringkat Cawangan/ Kawasan/ Negeri/ Pusat, etc.

 

Peranan Secara Tidak Langsung…… – Tidak Berjawatan : Urusan Kajian, Informasi & Sokongan
  1. Sumbangan di sudut idea, pena, harta dan tenaga, etc.
  2. Di peringkat Cawangan/ Kawasan/ Negeri/ Pusat, etc.

 

Nota : Walau bagaimanapun, anda perlu memaklumkan kewujudan anda sebagai ahli ( Penyokong atau

Pendokong PAS ) kepada Kepimpinan Jama’ah di mana jua anda berada.

C : CONTOH-CONTOH TUGAS YANG LEBIH KHUSUS

 

 

  1. Model/ Qudwahtun Hasanah ; Pendakwah yang menzahirkan personaliti individu mukmin sejati.
  2. Agen Reformis/Pengislahan ; menjadi pemangkin peralihan ke arah pembentukan

methodologi perjuangan yang lebih sistematik dan

sofistikated. Gunakan apa jua kepakaran dan kepandaian yang ada

sebagai seorang intelektual Islam.

  1. Agen Pendesak ; aktif dalam memberi kritikan, komentar dan tuntutan terhadap kerajaan. Harus

menjadi perancang dan pelaksana serta penggerak apa jua program Islami.

  1. Agen Pemantau ; mengetuai gerakan kajian dan penyelidikan terhadap setiap isu penting negara

untuk kegunaan parti. Bertindak sebagai SB jama’ah.

  1. Agen Motivater ; menjadi Pegawai Penerangan Jama’ah dalam membangkitkan kesedaran dan motivasi rakyat.
  2. Agen Masyarakat ; menjadi pembela dan pejuang kebajikan masyarakat dalam apa jua segi.
  3. Rausyanfikr – Golongan Pemikir dan ‘Ice breaking’ , etc.

 

D : BEBERAPA SIKAP YANG PERLU BAGI SISWAZAH PEJUANG YG. BERIMAN & BERTAQWA

 

  1. Ikhlas – Dalam beragama
  2. Beramal – Taqarrub ilaLlah
  3. Istiqomah – Sedia berkorban apa jua
  4. Redha – Berlapang dada
  5. Zuhud – Cukup ALlah segala-galanya
  6. Tawadhuk – Jiwa seorang hamba
  7. Tawakkal – Sangka baik kepada ALlah

 

E : SISWAZAH SEBAGAI ASET PENTING NEGARA & PENENTU HALATUJU MASA DEPAN UMMAH

 

 

Siswazah yang merupakan golongan muda amat sesuai dianggap sebagai sebahagian daripada aset penting negara. Ini kerana mereka inilah yang akan meneruskan kesinambungan sesebuah pemerintahan bagi sesebuah negara. Siswazah yang beriman dan bertaqwa akan mampu membawa negara Malaysia menjadi sebuah negara yang dipenuhi barokah dan redha ALlah. Merekalah yang akan menentukan masa depan ummah sama ada menjadi satu ummah yang bertaqwa dan meneruskan hidup berlandaskan hudud-hudud yang telah ditetapkan-Nya atau sebaliknya. Sesungguhnya, setiap yang bernyawa akan mati maka itulah janji ALlah kepada kita ummat manusia. Oleh yang demikian menjadi suatu kemestian bagi yang masih ada untuk meneruskan perjuangan yang telah ditinggalkan.

Inilah yang dimaksudkan oleh As Syahid Syed Qutb ketika menyatakan bahawa kita akan merasa sempit seandainya kita mengatakan bahawa perjuangan ini kitalah yang memulakan dan mengakhirkannya. Tetapi kita tidak akan merasa sempit apabila kita yakin dan percaya bahawa kita adalah penerus kepada satu-satu perjuangan. Ummah Siswazah merupakan golongan yang akan tinggal dan ditinggalkan. Maka, oleh itu merekalah aset penting negara yang akan meneruskan pemerintahan dan pentadbiran negara dalam menjaga kepentingan ummah. Peranan ini tidak akan mampu mereka mainkan seandainya mereka tidak peka terhadap permasalahan negara dan rakyat seluruhnya. Keprihatinan wajar dimulakan daripada sekarang bagi mempastikan mereka benar-benar ‘competent’ ( layak ) untuk mengambilalih tampuk pemerintahan yang ada sama ada mahu atau tidak. Itulah tanggungjawab kita sebagai ummat Islam yang merupakan khalifah ALlah di atas muka bumi ini.

 

RUMUSAN/ KESIMPULAN

 

Sesungguhnya kemenangan Islam itu kian hampir. Fajar kebangkitan semula Islam telah menyinari hampir ke seluruh pelusuk dunia. Adalah amat malang seandainya kalian yang pernah berjuang dan berkekang mata ketika bergelar Mahasiswa dulu saban malam untuk kemenangan Islam, tiba-tiba tercicir dan tergelincir daripada wasilah perjuangan yang haq ini. Sungguh, yang akan terus berjuang dan beristiqomah adalah insan-insan pejuang pilihan ALlah. Semoga kita adalah insan-insan di antaranya.

 

Sahabat-sahabat…….

Memori silam membiaskan sejuta kenangan, menyemarakkan api perjuangan dalam melalui debu-debu pengorbanan daripada setiap kujur tubuh insan-insan pejuang. Semangat yang membara menyelusuri celah-celah jiwa yang penuh keikhlasan, menerbitkan rasa cinta dan rindu. Mengalirkan ketulusan nurani dalam menegakkan kebenaran Ilahi. Segenap jiwa dan raga dipasrahkan kepada ketentuan takdir, bersimpuh dalam ‘alam kesufian. Kehidupan insan pejuang masa silam mengutamakan kasih sayang dan persaudaraan. Di tempat ibadah mereka bagaikan malaikat yang tunduk dengan tawadhuk di hadapan Ilahi. Di medan peperangan mereka bagaikan singa ALlah yang rindukan kemenangan dan kedamaian. Falsafah perjuangan mereka merealisasikan antara iman. Ikhlas, cita-cita dan pengorbanan untuk menuju kejayaan ataupun kesyahidan.

 

Kepada roh-roh para syuhada’ yang telah mendahului kita, kita mengemukakan kepada mereka penghormatan dan cinta, ingatan yang baik dan janji bahawa kita akan tetap berada di atas jalan ini. Kepada setiap orang yang ada kebaikan walau sebesar biji sawi di dalam hatinya, semoga ALlah swt memberi faedah kepadanya dan menunjukinya. Sungguh, tidak ada yang kita kehendaki melainkan menurut kehendak ALlah swt.

 

Allahu Akbar ! Allahu Akbar !! Allahu Akbar !!!

 

“ Bukankah ALlah itu mencukupi keperluan hambaNya ? Dan mereka menakut-nakutkan kamu dengan sesuatu selainNya. Dan siapa yang dibiarkan sesat oleh ALlah maka tiadalah dia akan memperolehi pemimpin yang akan memimpinnya.”

( Az Zumar : 3 – 6 )

 

 

 

Salam takzim. Selamat Berjuang & Beristiqomah

Wassalamu’alaikum Wama’annajjah Wailal Liqa.

Al haqir wal faqirah ilaLlah

<!–[if gte vml 1]&gt; &lt;![endif]–><!–[if !vml]–><!–[endif]–>

( AL UKHT. AIMAN ATHIRAH AL JUNDI )

SETIAUSAHA PENERANGAN DEWAN MUSLIMAT PAS NEGERI ( P.P )

SETIAUSAHA DEWAN MUSLIMAT PAS NEGERI ( P.P )

 

 

 

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s