SIRI 1 : AWAL AL-MUBARAK

“Berpuasa pada bulan Ramadhan dan berpuasa sebanyak tiga hari pada setiap bulan akan menjauhkan fikiran jahat daripada hati dan membersihkannya.”

Ramadhan menjenguk lagi. Dan sedari awal kedatangannya memang dinanti. Inilah masa yang paling sesuai untuk merebut ganjaran pahala yang berlipat kali ganda tanpa diganggu-gugat oleh syaitan dan iblis, hanya nafsu yang perlu dikawal. Setiap individu mempunyai cara yang tersendiri menyambut Ramadhan. Ada juga mukmin yang memulakan sambutan puasa dengan berpuasa sunat. Sebagaimana sabda Rasulullah SAW
yang bermaksud:

“Janganlah kamu mendahului Ramadhan dengan berpuasa sehari atau dua hari sebelumnya, kecuali seseorang yang telah membiasakan diri berpuasa sunat, maka ia dibolehkan berpuasa.” – HR Tujuh Ahli Hadith

Puasa Ramadhan tidak boleh dimulakan dengan berpuasa sunat atas alasan ingin menyambut ketibaan Ramadhan. Namun, jika seseorang individu itu telah biasa dan memang mengamalkan berpuasa sunat di dalam hidupnya, maka individu ini tidak ditegah untuk berpuasa sunat walaupun puasa sunat yang dilakukannya adalah pada sehari atau dua hari sebelum kedatangan Ramadhan. Malahan, hal seperti ini dibolehkan di dalam Islam. Misalnya, jika seseorang itu telah biasa berpuasa sunat pada setiap hari Isnin dan Ramadhan pada tahun itu jatuh pada hari Selasa, maka individu itu dibolehkan meneruskan puasa sunatnya sebagaimana lazimnya.

Namun jika individu itu sengaja melakukan puasa sunat sedangkan itu bukanlah kebiasaan amalannya, maka puasa seperti ini adalah diharamkan kerana ia dikatakan sebagai mendahului ibadat puasa Ramadhan. Walaupun ada segolongan individu yang berpendapat puasa seperti ini sebagai satu penghormatan untuk menyambut ketibaan Ramadhan tetapi  Rasulullah SAW sendiri menidakkan dalil yang sebegini dan menegah sama sekali amalannya.

Terdapat segelintir golongan bukan Islam yang berpendapat ibadat puasa ini tidak lain daripada meletih dan menyeksakan lantaran pantang larang yang perlu dipatuhi, namun pendapat-pendapat sebegini mula terhakis berikutan penemuan dan kajian yang  dijalankan menunjukkan bahawa puasa adalah satu amalan yang baik bagi menjamin tahap kesihatan mental dan fizikal secara keseluruhannya.

Di samping menerangkan kepada mereka tentang konsep sebenar ibadat dalam Islam, kita sentiasa digalakkan untuk memperbaiki dan menambah amalan dari semada ke semasa terutamanya di dalam bulan Ramadhan ini. Ibadat utama dalam Ramadhan ialah untuk mengerjakan puasa.

“Barangsiapa tidak membulatkan niatnya berpuasa sebelum fajar (subuh), maka tidak ada puasa baginya.” – HR Ahmad & Ashabus Sunan

Awal puasa ialah berniat untuk mengerjakan ibadat tersebut.

Niat puasa terbahagi kepada dua iaitu:

Berniat setiap malam sebelum datangnya waktu Subuh –  seseorang yang berkeinginan untuk berpuasa, wajib menyatakan niatnya; Berniat pada awal bulan Ramadhan sebelum datangnya waktu Subuh – seseorang yang ingin berpuasa pada bulan tersebut, wajib menyatakan niatnya untuk berpuasa selama satu bulan Ramadhan.

Kedua-dua pengertian ini boleh diterima pakai, namun bagi mendidik anak-anak kecil berlatih berpuasa, lebih wajar jika kaedah yang pertama ini diterapkan kepada mereka. Manakala kaedah yang kedua pula lebih mudah dan meringankan Seseorang yang akan mengerjakan ibadat puasa selama sebulan Ramadhan, memadai jika menyatakan niat puasanya sekali pada malam pertama Ramadhan. Jika niatnya dinyatakan setiap malam, maka hal ini dikategorikan sebagai sunat dan tidak mendatangkan sebarang kemudaratan.

Sumber dari : sabah.org.my

Advertisements

Sya’aban dan kelebihannya

Dari Abdullah bin ‘Amr r.a., Rasulullah s.a.w. bersabda:
“Sampaikanlah PesanKu Biarpun Satu Ayat…”

Bulan Sya’aban muncul lagi. Marilah kita memperbanyakkan amalan di dalam bulan yang penuh dengan keberkatan.

Sabda Nabi s.a.w.:
Apabila masuk bulan Sya’aban, baikkanlah niatmu padanya  kerana kelebihan Sya’aban atas segala bulan seperti kelebihanku atas kamu.

Barangsiapa yang berpuasa sehari pada bulan Sya’aban, diharamkan Allah tubuhnya dari api neraka. Dia akan menjadi tauladan Nabi Allah Yusuf a.s.di dalam syurga. Diberi pahala oleh Allah seperti pahala Nabi Allah Ayub a.s. dan Nabi Daud a.s. Jika dia sempurnakan puasanya sebulan di bulan Sya’aban, dimudahkan Allah atasnya Sakratulmaut dan ditolakkan (terlepas) daripadanya kegelapan di dalam kubur, di lepaskan daripada hura-hara Munkar dan Nakir, ditutup Allah keaibannya di hari kiamat dan diwajibkan syurga baginya.

Barangsiapa berpuasa pada awal hari khamis pada bulan Sya’aban dan akhir Khamis daripada Sya’aban, dimasukan dia ke dalam syurga. (dari kitab Al-Barakah).

Berkata Siti Aisyah r.a., bulan yang lebih dikasihi oleh Rasululah s.a.w.
ialah bulan Sya’aban.

Sabda Nabi s.a.w.:
Sya’aban adalah bulanku dan Ramadhan adalah bulan umatku. Sya’aban ialah mengkifaratkan (menghapuskan) dosa dan Ramadhan ialah menyucikan dosa (jasmani dan rohani).

Sabda Nabi s.a.w.:
Bahawa puasa Sya’aban kerana membesarkan Ramadhan. Siapa yang berpuasa tiga hari daripada bulan Sya’aban, kemudian dia bersalawat atasku beberapa kali sebelum berbuka puasa maka di ampunkan oleh Allah dosanya yang telah lalu. Diberkati rezeki baginya, antara lain sabdanya lagi : Bahawa Allah Ta’ala membukakan pada bulan itu tiga ratus pintu rahmat.

Sabda Rasulullah s.a.w.:
Dinamakan Sya’aban kerana padanya terdapat kebajikan yang amat banyak dan puasa yang lebih afdhal sesudah Ramadhan ialah puasa bulan Sya’aban.
Pengertian Sya’aban: Kemuliaan, Ketinggian, Kebajikan, Jinak, Cahaya.

Sabda Nabi s.a.w.:
Bahawa kelebihan Rejab atas bulan-bulan yang lainnya seperti kelebihan Qur’an atas segala kalam. Kelebihan Sya’aban atas bulan-bulan yang lainnya seperti kelebihanku atas segala Anbia’ (Nabi-nabi). Kelebihan Ramadan atas bulan-bulan yang lain seperti kelebihan Allah atas sekelian makhlukNya.

Bulan Sya’aban, keagungan malamnya dengan Nisfu Sya’aban seperti keagungan Ramadhan dengan Lailatul Qadarnya. Maka pada malam Nisfu Sya’aban telah datang Jibril kepada Rasulullah s.a.w lalu katanya: Angkat kepalamu ke langit, itulah malam yang Allah beri padanya tiga ratus rahmat dan di ampunkan Allah sekelian orang yang mensyirikkan denganNya dengan sesuatu kecuali: tukang nujum, kekal dalam zina, kekal minum arak, derhaka terhadap ibubapa.

Virus atau bala?

Ramai yang beranggapan H1N1 hanya sekadar virus yang mampu membunuh manusia dalam tempoh masa yang agak cepat. Bagi umat Islam, kita patut merenung kembali kenapa virus berbahaya ini menyerang manusia seluruh dalam jangka masa yang tak diduga.

Allah telah menurunkan bala kepada manusia sepertimana tsunami yang telah melanda negara Islam mahupun kafir. Apabila azabNya diturunkan, tiada siapa yang terlepas. Seorang ustaz telah memberitahu, azab bukan hanya ada didalam kubur atau di akhirat saja tetapi di dunia juga ada.

  • Di dunia pun kita sudah merungut kepanasan matahari, bagaimana pula dengan kepanasan api neraka?
  • Kita sering merungut jika ada makanan atau minuman yang tidak menepati citarasa dan kita ada banyak pilihan untuk membeli makanan tetapi adakah pada masa itu kita terfikir tentang hidangan di neraka yang lebih memeritkan dan tiada pilihan?
  • Seandainya kita mengalami demam atau sakit, adakah kita masih cergas melakukan amal ibadat seperti solat fardhu?Ingatlah di dalam neraka, tiada kerehatan bagi penghuninya

Banyak sebab musabab jika difikirkan secara logik berkaitan penularan virus H1N1 ini. Makanan kita banyak terdedah dengan penggunaan anggota haiwan yang di gelar babi seperti curcumin ( E 100), riboflavin ( vitamin B2), indigo carmine/Idigotine dan banyak lagi. Anda boleh mendapatkan buku Panduan Persatuan Pengguna Pulau Pinang bertajuk HALAL HARAM. Buku tersebut boleh didapati dimana-mana kedai buku. Ianya banyak membincangkan hal berkaitan makanan.

Itu baru berkenaan makanan. Bagaimana pula dengan pakaian, pinggan mangkuk, alat solek dan sebagainya? Ramai umat Islam yang ambil mudah berkaitan pemprosesan sesuatu barangan. Asal ada tanda halal, semua main rembat asalkan keperluan diri di isi.

Sesuatu yang terjadi mesti ada sebab. Penyakit takkan datang dengan sendiri sekiranya kita mencegah dari awal. Contoh paling senang:

  1. Merokok memang boleh mendatangkan pelbagai penyakit sehingga ada fatwa yang mengatakan merokok itu haram tetapi masih ramai orang Islam yang menghisapnya.
  2. Membiarkan air bertakung dalam tin atau sebagainya. Kita sedia maklum, nyamuk aedes suka membiak di air yang jernih tetapi kita tidak membuang air tersebut malah makin memberi galakan untuk nyamuk tersebut. Apa kesudahannya? Berlakulah penularan demam denggi, chikungunya, demam malaria dan lain-lain.
  3. Berpakaian seksi boleh mendatangkan pelbagai mudarat. Ada perbezaan maksud yang besar di antara menutup aurat, membungkus aurat (pakaian ketat tetapi menutupi seluruh badan) dan membuka aurat. Masalah aurat pun mendatangkan masalah besar seperti kes rogol, sumbang mahram, tiru gaya artis dan lain-lain.

Banyak lagi masalah berpunca dari manusia sedangkan segala peringatan telah termaktub didalam al-Quran malah hadis shahih pun banyak menerangkan dan menguatkan peringatan tersebut. Saya berharap agar kita sama-sama merenung kembali kesilapan dan kealpaan kita sebagai makhluk Allah dalam menunaikan segala perintah dan laranganNya.

Saya memohon maaf sekiranya terdapat kata-kata yang tidak betul. Ianya berdasarkan pengalaman dan pengetahuan saya selama ini.

Erti Sya’aban

Sya’aban bermaksud berpecah-pecah atau berpuak-puak. Ianya berkaitan dengan masyarakat Quraisy pada waktu itu terpaksa berpecah kepada beberapa kumpulan untuk mencari sumber air di padang pasir.

Apabila Rasulullah SAW datang, baginda telah mengekalkan nama tersebut sehinggalah sekarang. Rasulullah SAW telah menyebut mengenai pelbagai kelebihan bulan Sya’aban dalam hadis-hadisnya. Di antara hadis yang paling masyhur ialah: Rasulullah SAW bertanya kepada sahabat-sahabatnya:

“Tahukah kamu sekelian mengapa dinamakan dengan bulan Sya’aban?” Para sahabat menjawab, “Allah dan RasulNya lebih mengetahui” Sabda Rasulullah SAW, “Kerana dalam bulan itu berkembanglah kebaikan yang banyak sekali.” (Dipetik dari kitab Raudatul Ulama).